Balthasar's Odyssey

Oleh: Asal Turabiy

Saya telah lama mengimpikan menguliti buku penulis luar dari Malaysia. Saya pernah mahu mengintimi Ayat-ayat Cinta yang tersohor diperkatakan umum. Malah sahabat yang sinikal dengan karya Melayu dan terjemahan telah lama mendahului. Di rak yang dibarisi karya penulis berbobot dari luar, saya tidak mengenali yang lain selain Pramoedya Ananta Toer. Saya lama sudah mengkagumi dan dewasa dengan rusuh Pram. Belum ada seorang penulis yang bisa membuat saya meruntun hiba dan masih mengenang derita watak-wataknya sehingga tidak terlupakan, kecuali penulis besar dari Indonesia ini. Namun mata saya tertancap pada karya Amin Maalouf. Waktu itu saya harus membatasi diri dari menghabiskan wang yang sudah susut kerana banyak membeli karya-karya ilmiah yang lain.
Kemudian, lama setelah saat itu, saya berada dalam kesempatan terhad untuk kembali ke Fajar Ilmu. Ruang dalaman toko buku itu telah berubah meninggalkan diri dalam hampa. Kemana menghilangnya Balthasar’s Odyssey? Akhirnya saya ditunjuki pemilik toko yang peramah, deretan novel dari nama-nama besar dunia. Saya berbagi untuk mendapatkan Oman Parmuk atau Amin Maalouf. Ia pilihan yang sukar. Saya pasti tentang itu. Andai punya wang yang lebih banyak atau bonus akhir tahun.
Akhirnya Balthasar di tangan, mutlak. Nama Tuhan yang Keseratus. Adakah saya akan bercerita mengenai kebetulan-kebetulan yang menimpa Balthasar dalam adventur mencari buku Manzadarani, ‘Nama Tuhan yang Keseratus’ dengan kebetulan-kebetulan bertuah yang dialami setelah memiliki buku ini? Ia penaakulan yang menarik meski saya tidak mempercayai nasib dipengaruhi oleh sesuatu yang kebetulan kita miliki.
Sejak mengintimi Balthasar’s Odyssey, tiba-tiba saya dapat kesempatan bertugas di utara dengan menaiki pesawat terbang. Tambang murah pastinya, tapi masih pesawat terbang. Untuk pekerja yang masih belum mendapat status sah jawatan, dan usia tempoh perkhidmatan tetap yang belum mencapai setahun, bagi kebanyakkan orang ini kebetulan yang mencengangkan. Dalam persinggahan pertama di Alor Star, sedang perjalanan masih berbaki sejam untuk ke Arau, kami disambut mesra rakan baik yang bekerja di Pokok Sena. Dia tanpa banyak bicara, meminjam kami keretanya yang masih baru untuk 3 hari di Arau tanpa bayaran. Nihil. Dalam jangkaan orang yang kami bakal susah bergerak di daerah orang, kami malah dapat mengelilingi Bandar Kangar beberapa kali sehari. Menjelajah Empangan Timah Tasoh hingga singgah ke Padang Besar. Lebih mengejutkan, rakan baik yang meminjamkan kereta, mengilhami untuk kertas cadangan pengajian peringkat kedoktoran! Kebetulan mungkin, dalam perjalanan pulang semula ke ibu negara, kami membeli tiket bas perjalanan ekspress LCCT ke KL Sentral di atas pesawat. Harga hanya RM9, tapi yang ajaibnya tiket itu tertera nombor siri 024100. Perjalanan yang kedua puluh empat ribu, satu ratus.
Terbalik dari itu, Balthasar mengalami nasib malang mencari Nama Tuhan yang Keseratus. Padahal dalam perjalanan dia dapat mengecapi nikmat kebahagiaan dunia yang lama diimpinya dengan cara terlarang tanpa sepincing rasa bersalah. Ia adalah perjalanan kembara yang celaru, tentang berdepan dengan ramalan hari kiamat yang sangat-sangat mendekat. Yang dihebohkan orang akan berlaku pada tahun 1666 sedang latar masa Balthasar memulakan perjalanan ialah pada tahun 1665. Manusia dalam cemas mempercayai kiamat mendekat masih sahaja melanggar hukum Tuhan. Tetap sahaja yang utama adalah diri, bukan harap pada penyelamatan.
Rakan baik memandang kulit buku ini, menolaknya mentah-mentah. Sangkanya, saya mendekati karya falsafah lagi. Bagaimana perlu untuk mengidentitikan novel terbaru ini? Ia cerita perjalanan seorang pemilik kedai antik dan buku-buku langka bersama 2 orang anak saudara, seorang pekerja dan seorang janda yang mencari surat pengesahan kejandaannya dari wakil Sultan Ottoman. Perjalanan mereka atas tujuan yang satu, mencari semula buku Nama Tuhan yang Keseratus. Satu novel kembara, novel adventur. Satu jurnal perjalanan setepatnya. Sebuah travelog. Semudah ini. Saya berfikir-fikir untuk memberi jawapan pada rakan baik, di mana nilai falsafahnya?
Novel ini dibaca tepat waktu menyedari tentang sedar diri kenapa saya berada di daerah asing tempat saya mencari rezeki. Balthasar juga mempunyai sedar diri yang hampir sama. Mengapa dia harus berada dalam pengembaraan mencari Nama Tuhan yang Keseratus. Saya mengambil jalan sepakat dengan Balthasar, iaitu, hakikatnya kami sama-sama menyedari jalan yang dipilih. Ia adalah kehendak persendirian yang dibuat dengan perhitungan dan alasan, tapi ditengah-tengah perjalanan merasa keliru. Saya akhirnya mendapat resolusi lebih dulu tentang kewajaran berada di daerah terpencil dengan peranan yang perlu diperjuang dan dipertahankan, sebelum bertemu kalimah resolusi yang sama untuk pengembaraan Balthasar dalam Nama Tuhan yang Keseratus.
Untuk halaman yang lain, tanpa perlu berfikir dua kali, saya bersetuju dengan Balthasar ketika dia mendapat rezeki terpijak di Smyrna. Tapi saya mahu terus sahaja berahsia mengenainya. Masih terlalu banyak rahsia Tuhan yang perlu disingkap dan dicari makna hakiki sebelum berani berkongsi dengan rakan-rakan. Meski begitu, dalam hal rahsia ini, saya telah mantap dalam yakin.
Balthasar menemani saya dalam langkah perjalanan dari Jengka - Kuala Lumpur – LCCT - Alor Setar - Pokok Sena – Arau - Timah Tasoh - Padang Besar - Pokok Sena - Alor Setar – LCCT - KL Sentral - Kuala Lumpur - Jengka. Kami nyaris tidak dapat menaiki pesawat kerana waktu mendaftar masuk sudah terlewat 10 minit. Saya hampir kehilangan telefon bimbit di Alor Setar, tapi sempat kembali kepangkuan meski pesawat telah tiba dan 10 minit lagi waktu berlepas. Dan hujan sederhana yang menyambut ketibaan di LCCT, bersama payung-payung merah, adalah keindahan seni Tuhan yang terlalu sempurna.
Saya masih belum menghabisi Balthasar’s Odyssey: Nama Tuhan yang Keseratus. Saya masih belum tahu nama Tuhan yang keseratus. Anda mahu memiliki Balthasar’s Odyssey? Jemput ke Fajar Ilmu di Wisma Yakin, InsyaAllah akan bertemu dengan Amin Maalouf untuk turut sama memiliki.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK