Engkau pengikut
Sang Penghunus Pedang
pada lehar para tiran


Engkau didesak untuk terlibat dalam merangka hukum. Meski dalam sekali pandang dan sebelum analisa secara kritis telah kelihatan cacat cela di mana-mana. Lantas Engkau menukar jubah si kelana yang tunduk pada ketentuan, dengan jubah yang dipinjamkan Sang Penghunus Pedang pada leher para tiran. Mereka sangka jahil Engkau mampu menutup mulut yang dipatri. Tapi pengikut Sang Penghunus Pedang bukan datang untuk membajai lagi segala kejahilan muraqqab.
Kerana desakan Engkau makin marak, hingga menyebabkan mereka tersentak, lalu dikirim Si Pemberi Pesan. Bahawa mereka bukan benar mahu menegak hukum. Bahawa para tiran cuma mahu memainkan peran sebabak, sebagai pensimpati pada marhaen, sebagai menunjuk kebersamaan untuk kelestarian, bahawa keringat kami sungguh untuk ditagih, keintelektualan ada nilai.
Mahu apakah Si Pemberi Pesan pada Engkau? Jubah yang Engkau pakai kekal. Ia adalah pinjaman dari Sang Penghunus Pedang pada leher para tiran. Engkau mungkin berpaling dari pembuat hukum, tapi mustahil khianat pada keadilan. Guru Engkau, yang memberi pinjam jubah kebesaran berpesan, sebuah hukum yang bagus harus ditafsirkan secara bagus dan akhirnya perlu dilaksanakan secara bagus. Si Pemberi Pesan membongkar, sejak mula pembuat hukum punya niat serong. Mereka lebih dulu punya niat dan tujuan khianat sebelum merangka hukum. Lalu untuk apakah mengikut jalan yang dirintis para pengkhianat?
Sebagai pencinta guru, Engkau mana mungkin berdiam. Jika diam, Engkau jadi bersekongkol. Lalu dengan keringat yang masih bersisa, Engkau cuba untuk sekurang-kurangnya mengusul. Satu hukum yang dicari dari tinggalan leluhur, dari segenap pelusuk bumi, perbandingan yang terbaik, untuk kebenaran, keadilan, kecemerlangan.
Mungkin Engkau bukan yang paling benar, tapi meski, Engkau bukanlah si buta, pekak, bisu dan tolol. Meski masa depan menjanji akan berada dalam rintis jalan ketololan, sekurang-kurangnya Engkau pernah menjadi si cerdik yang memekik, meski suara hanya bergaung dalam balang kedap udara.

Engkau pengikut
Sang Penghunus Pedang
pada lehar para tiran
pencinta guru keadilan
jalan mati
satu
syahid
mahu
jihad di situ!

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK