Kita pun Boleh

Saya tidak menyembunyikan kekaguman saya kepada Prof Mohd Kamil dalam beberapa entri kebelakangan ini. Meski dalam waktu kemunculan dan popular yang sangat mendadak saya masih punya pandangan sedikit skeptikal. Walau kawan-kawan meletakkan buku travelog Haji Mengubah Sempadan Iman di meja, saya tidak terpanggil untuk menyentuh ataupun membaca.



Sehinggalah saya menjadi pembaca entri Prof kebelakangan ini. Tentang penghidupan seorang manusia biasa di Madinah. Bila mana seorang manusia dijemput tinggal berjiran di tanah Madinah yang begitu luar biasa, saya tahu Prof Kamil orang yang terpilih. Dan blog dia yang sentiasa memanggil orang untuk membaca, kemudian menghayati dan terpanggil untuk sama membuat kebaikkan. Ya, sebagai manusia yang memerhati, saya tahu Prof adalah manusia terpilih.

Setiap hari ketika membuka blog, saya berdoa Prof Kamil diberi hidayah dan istiqamah.

Yang membuat saya tersentuh ialah kerana Prof Kamil bukan orang agama. Malah dia secara terbuka mengakui kejahilan waktu muda. Bagaimana seorang yang berkedudukan paling tinggi dalam satu kampus sanggup mengaku bahawa dia tidak tahu mengaji? Berapa besar tembok ego yang perlu diruntuhkan? Ia tentu satu jihad yang getir. 

Prof bukan orang agama, malah jahil di waktu mudanya. Namun dengan sebuah buku dia mampu mengajak masyarakat untuk mengubah persepsi tentang Haji. Ramai yang terpanggil dan dimotivasi dengan hanya membaca buku, malah ramai lagi yang mendapat manfaat mendengar ceramahnya.

Ya dia orang biasa, bukan ahli dalam bidang agama. Berjaya meninggalkan impak yang bukan kecil anak. Juga lebih besar dari bapa.

Prof Kamil membuat saya percaya, kita pun boleh. Sekurang-kurangnya keluar dari lingkungan selesa kehidupan, dan mula berdakwah dengan cara apa yang kita boleh lakukan. Allah tidak akan memaksa untuk kita perbuat di luar kemampuan, tetapi Allah tetap akan bertanya "apa yang telah kamu lakukan?"

Usaha itu perlu bergerak dari kemahuan. Kita tidak berniat diberi ganjaran, tetapi mohonlah diberi pengampunan. Moga usaha amal, kebajukan yang ikhlas, menjadi penebus dosa-dosa lampau.

Kita boleh dengan syarat percaya. Kita boleh dengan syarat mula melangkah. Kita boleh dengan berpesan-pesan setiap hari.

Untuk menjadi manusia terpilih, juga ada syarat kasualiti yang perlu dipenuhi. Allah memandang, dan mulalah memandangNya kembali! 





Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang