Kunci hilang

Khalis berdiri di hadapan bilik, di hadapan tertera 'ADA". Khalis mengetuk pintu, tertib dan jelas didengar penghuni di sebalik.

"Masuk!"

Daun pintu dibuka dan terus dibiar terbuka luas, kelibat Ashwa menjelma. Ashwa terkejut, bangun dan menjemput Khalis duduk di kerusi pelawat.

"Ashwa, tidak perlu awak melayan saya begitu begitu rasmi," Khalis membuka kata, menarik kerusi dan duduk dalam keadaan selesa. Khalis memerhati. Di hadapan meja kerja Ashwa, ada botol kecil berisi debu. Khalis tahu cerita debu dan botol kecil itu.

"En. Khalis boleh panggil saya, tidak perlu susah-susah datang ke bilik kecil ini," bicara Ashwa sedikit rasa tidak selesa.

"Kita kan bersahabat, kebetulan sahaja dalam 2-3 tahun ini saya perlu jadi Ketua. Esok lusa mungkin awak pula."

Ashwa menarik nafas. Khalis tahu Ashwa tidak berminat.

"Saya bimbangkan awak. Terus terang, sebagai ketua saya ambil berat dan perlu menegur. Prestasi kerja awak akhir-akhir ini begitu merosot. Kalau tidak sihat awak boleh ambil cuti."

"Saya minta maaf, saya sihat dan tidak perlu cuti."

Khalis tahu Ashwa masih berkabung meski sudah hampir dua tahun. Khalis tidak mahu Ashwa menjadikan kerja sebagai tempat pelarian. Sampai bila-bila masalah tidak akan selesai.

"Ini bukan Ashwa yang kami kenal dulu. Awak bukan macam ini."

Ada rona tersentak di wajah, "Maaf En. Khalis, saya kehilangan. Semangat saya entah pergi ke mana."

"Awak ingat masa saya kehilangan kunci kereta dulu?" En Khalis memutar kenangan.

Khali.

Ashwa masih ingat. Sewaktu itulah juga Farish Asytar bercerita tentang Nasruddin Hoca, seorang sufi yang penuh cerita lucu. Farish Asytar mengkisahkan penuh semangat, "satu masa Nasruddin kehilangan barang di dalam rumah. Tetapi rumahnya gelap. Lalu dia keluar dari rumah dan mula mencari-cari. Bila ditegur apa yang di buat Nasruddin menjawab, "Barang saya hilang." Bila ditanya di mana ia hilang, Nasruddin berterus terang "Di dalam rumah." Mereka yang kehairanan terus bertanya, "Habis mengapa mencarinya di sini." Jawab Nasruddin Hoca polos, "kerana di dalam rumah gelap, di luar ini terang." Mereka bertiga ketawa bersama-sama. Pada masa itu juga Ashwa berpesan kepada Khalis.
"Awak kata, benda perlu dicari di tempat ia hilang, bukan di bawah lampu terang." Khalis mengingatkan Ashwa pada pesan lama.

Ashwa juga senyum. "Saya masih ingat." Ashwa faham Khalis menegur berkias.

"Kalau begitu baguslah. Saya harap Ashwa akan kembali." Khalis bangun untuk beredar.

Pintu di tutup. Ashwa merenung botol kecil berisi debu. Ingatannya pada Farish Asytar diputar semula. Dalam hati mengulang, "benda perlu dicari ditempat ia hilang." Ashwa menarik nafas dan memejam mata. Ashwa tahu di mana tempat itu, tetapi tidak mahu ke sana. Jika dia berani pergi, semangat yang masih tersisa akan mati!

p/s: kisah Ashwa dan Farish Asytar di sini.


Comments

ieka said…
aish.. sungguh dua tahun berlalu..
adakah perlu tunggu dua tahun lagi? kekeke

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah