Mendidik Jiwa


Nasyid ini sedia dipasang dalam kereta kawan setiap kali pergi ke tempat kerja. Ia dendangan indah Mohammed Obaid. Entah kenapa setiap kali pun kaset melagukan, hati disampuk sayu. Meski kami tidak tahu apa ertinya. Melodinya sahaja membuat diri terbuai entah ke mana.

Satu hari rakan memberikan link untuk memahami erti disebalik bait-bait Syair Imam Syafei. Ia telah menjemput derai air mata tiada berpenghujung. Andai ia adalah doa berpengharapan seorang Imam, maka kita ini bagaimana patut lantunan doanya?

Bila sempat membuka YouTube ini dan menghayati makna, saya kehilangan kata. Setiap satu bait pun menghiris kerana mengenang diri begitu cela dan berdosa. Imam pendiri mazhab yang ramai sekali jemaah yang berdiri di belakangnya merasa begitu kerdil ketika bermunajat. Diulang-ulang dirinya yang membuat salah, mengharap pengampunan meski Imam tahu dia akan mengulangi dosa yang sama.

Ya, Imam mencirikan sisi manusia yang sebenar. Yang jarang sekali kita cerminkan diri kerana zaman yang menyibukkan. Allah. Andai saya juga dapat menulis bait seperti ini. Andai.

Tempat kerja saya begitu jauh. Kurang lebih 40km perjalanan sehala. Setiap kali pun kami akan melalui sebuah tanah perkuburan. Yang begitu kemas dijaga dan dipelihara. Apa pun orang kata, saya tetap suka menjalani jalan ini. Ia membawa ingatan bahawa sebentar nanti saya akan pulang ke rumah kekal di dalam tanah, sebelum kembali ke negeri abadi. Sekurang-kurangnya dua kali sehari, saya akan mengucap salam kepada 'Kuburian'. Moga umat yang berada dalamnya mendengar saya, dan mendoakan saya pula.

Kali ini tentu, jika melalui jalan kuburan ini dan syair Ilaika Imam Syafei berkumandang, saya tahu air mata akan laju berlinangan.




Comments

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?