Pelentur Alam 1

Zaki membawa Fieradz naik ke tingkat paling atas bangunan apartment 30 tingkat yang masih dalam pembinaan. Dari jauh awan hitam menyelimuti langit Kuala Lumpur.

Hari akan hujan.

Tangga hanya baharu siap sehingga tingkat 27. Untuk naik ke tingkat paling tinggi kederat dan keberanian diperlukan. Perancah (scaffolding) diikat kemas di sebelah bangunan. Besi-besi disambung dan membentuk tangga. Di situlah Zaki dan Fieradz perlu memanjat sebelum sampai. Dua tiga hari lagi sesi latihan industri di tapak bina akan tamat. Sayang jika tidak menggunakan kesempatan ini untuk mencipta advencer sendiri.

“Fier, kau boleh ke naik tangga ini?”

“Alang-alang menyeluk pekasam Ki, biar sampai lengan.”

Zaki tersenyum. Semangat seperti ini mungkin salah satu kemahiran insaniah bagi mereka yang bakal bergelar jurutera. Apa makna jika ahli pembina takut pada ketinggian dan cabaran.

Zaki memulakan langkah. Perlahan-lahan. Di tingkat seperti ini, angin kuat. Rambut beralun menutup mata menyukarkan pandangan. Tangan kiri memaut besi, tangan sebelah kanan menyelak rambut dan menyangkut ke telinga. Langkah dilajukan, tingkat 30 hari ini akan ditawan.

Sampai di atas Zaki dan Fieradz kagum melihat panorama sekeliling. Mereka berada dipinggir KL, berdekatan dengan Klang Gate. Tapak bina ini di atas bukit. Meski bangunan hanya 30 tingkat tetapi kerana di bina di atas tempat tinggi, seolah-olah ia adalah mercu tanda paling tinggi sini. Meski bangunan ini belum siap. Angin bertiup lebih kuat. Zaki dan Fieradz tidak berani berdiri di hujung bangunan. Beberapa orang pekerja Indonesia, Nepal dan Bangladesh sedang kusyuk mengikat besi di tingkat yang sama.

“Kau ingat lagi kisah seorang pelancong yang menegur tiga orang pekerja binaan yang diceritakan Profesor Harun dulu?” Zaki memulakan bicara.

Fieradz yang tenang itu mengalih pandang tepat ke wajah Zaki. Bunyi tower crane berselang seli dalam hujan.

“Tidak pasti, ceritalah sedikit mana tahu lama-lama boleh ingat.”

“Waktu itu Profesor Harun mengajar bagaimana tiga orang yang melakukan pekerjaan yang sama tetapi mempunyai sikap dan pandangan berbeza pada kerja masing-masing.”

Fieradz memandang Zaki penuh minat. Di belakang Zaki tower crane sedang mengangkat takungan simen untuk dipindahkan di blok satu lagi. Kelihatan dari jauh pemandu kren bekerja penuh hati-hati. Fieradz tahu di bawah akan ada seorang lagi yang akan memberi arahan di mana tower crane itu patut berhenti. Di lokasi yang akhir nanti segala isi dalam takungan itu akan dicurahkan semua sehingga habis. Mungkin akan membentuk tiang atau papak atau rasuk. Mereka yang bekerja di bahagian itu sahaja akan tahu.

“Satu hari sebuah sekolah sudah musnah akibat gegeran gempa bumi. Jadi ketiga-tiga pekerja ini bekerja mengangkat, memunggah, menyusun batu-bata. Ada yang menyodok dan membancuh simen. Ada juga yang sedang memanjat dan mengikat besi. Segala-gala yang kita lihat sewaktu latihan industri ini, pendek ceritanya.”

Fieradz mengangguk. Segala-gala yang disyarah dalam kuliah nampak begitu jelas sekarang di mata. Apa yang Zaki mahu cerita juga terbentang dalam layar fikiran. Yang diulang-ulang pensyarah dan jurutera jemputan sudah dapat dirasai dengan fizikal. Malah turut faham rasa bagaimana bahang mentari menyengat tubuh diwaktu cuaca panas menggigit. 5 minit berada di tapak bina peluh yang keluar seolah-olah sudah selesai berlari satu pusingan padang bola sepak. Kalau diminta untuk menjadi buruh tapak bina, 30 minit belum tentu dapat bertahan. Tapi petang ini di waktu langit hitam dan hujan, cuaca lembut membuatkan semua orang begitu lunak. Maki hamun dari penyelia sedikit sekali didengar.

“Waktu itu ada seorang pelancong sedang melalui kawasan. Sudah tentu mereka tidak tahu pekerja tersebut sedang melakukan pembinaan semula sekolah, mereka kan orang luar. Untuk beramah mesra pelancong bertanya kepada mereka apa yang mereka sedang lakukan.”

Fieradz tersenyum. Ingatan tentang cerita Profesor Harun kembali.

“Yang pertama menjawab, “tidak nampak ke saya sedang kerja mengangkut batu-bata ni?” dengan nada yang menjengkelkan.” Fieradz mengangguk.

“Yang seorang lagi pula jawab, “Tak nampak ke saya sedang cuba untuk mendapatkan pendapatan, makan gaji untuk membolehkan saya dapat duit?”

“Yang ketiga menjawab, “Saya sedang membina sebuah sekolah!” Tersenyum menjawab dengan tegas dan bangga.” Fieradz menghabiskan cerita Zaki. Zaki tidak keseorangan mengingat cerita berbentuk pengajaran hikmah dari Profesor Harun.

“Hairan bukan, 3 orang yang melakukan kerja yang sama tetapi masing-masing mempunyai fokus dan tujuan yang berlainan. Yang mana satu dari mereka akan dapat merasai kepuasan dalam bekerja?” giliran Fieradz pula bertanya.

“Tentulah yang terakhir. Dia percaya pekerjaan yang dilakukan secara susah payah ada saham dalam pembentukan bangsa dan negara sendiri. Orang yang macam ini diberi bayaran tidak setimpal tetap akan merasa puas kerana mungkin salah seorang pelajar sekolah itu adalah anak atau cucu sendiri.” Zaki lancar membalas tanya Fieradz.

Zaki membuang pandang ke arah Kuala Lumpur. KLCC berbalam disorak kabus dan air hujan. Matahari tidak menyinar untuk membolehkan mereka melihat jarak jauh dengan jelas.

“Tentu sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembinaan KLCC akan merasa bangga. Itu mercu tanda. Malaysia dikenal di seluruh dunia kerana dua pinakel dan jambatan langit yang merentangi antara keduanya.”

Comments

Anonymous said…
Nice fill someone in on and this post helped me alot in my college assignement. Gratefulness you as your information.
ASaL said…
thanx for the comment.
the entry is credited to all my brothers which have completed their industrial trainning recently.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK