Prof Kamil: sisi gelap



Siapa yang tidak kenal Prof Kamil? Jika disebut mereka akan memberi reaksi klise, "oh, yang menulis Travelog Haji itu."


Saya tidak kenal secara dekat Prof Kamil, tetapi pernah mendengar namanya. Satu masa, kami di institusi yang sama, cuma beliau di Johor, saya di Pahang. Saya hanya melihat beliau dari jauh. Itu sahaja. Kini Prof berada jauh nun di Universiti Madinah, yang membolehkan beliau pergi umrah bila-bila masa beliau suka.


Satu perkara menarik ialah bila namanya dibicarakan di kalangan para senior mereka akan cuba memberi gambaran bahawa Prof Kamil punya sisi gelap di zaman muda. Yang berminat untuk tahu akan bertanya.


Saya, saya tidak berminat mendengar. Untuk apa. Ia sudah pun menjadi masa lalu. Kalau pun ada, ia tidak pernah menjadi rahsia. Prof Kamil secara terbuka menceritakan tentang kejahilan beliau di masa lalu di dalam buku-bukunya. Yang beliau sesali, dan menganjurkan secara berterusan untuk generasi muda, generasi sezaman dengannya, generasi lebih tua untuk tidak mengikuti jalan yang beliau pernah rintis.


Yang pasti, mereka yang mahu bicara tentang sisi gelap seseorang tidak pernah mengukur di badan sendiri. Kita semua ada sisi gelap, yang orang tahu, yang umum tidak tahu, yang kita sendiri simpan, yang Allah Maha tahu tetapi atas ikhsanNya ditutup semua. Kita bukan maksum, meski ada di antara kita yang lepas dari dosa, tetapi pasti kita bukan golongan yang maksum. Kita bukan.


Tuhan itu begitu hebat mengatur arah jalanNya. Memberi hidayah pada mereka yang Dia kehendaki. Tidak pernah akan meninggalkan jika kita berikhlas diri mencari dan memohon. Agar dibukakan jalan hidayah dan kita memeluk hidayah itu.


Prof Kamil saya percaya, antara orang yang terpilih itu.


Ketika berada di bumi Haraam, kawan saya bercerita. Ada seorang kakak berpangkat kerani sahaja. Kakak itu bertekad pergi Haji kerana 2 perkara. Satu, beliau sangat 'bengang' bila mendengar mereka yang berpangkat menyebut, "bila-bila masa I nak pergi Haji pun boleh. Tidak ada masalah langsung." Lalu dia menyimpan tekad, membuat janji dengan suami, dalam masa 3 tahun mereka mesti menabung. Meski masih ada anak kecil dan bersekolah, mereka pasti boleh dapat menunaikan Haji. Apa cara sekalipun, mereka mahu buktikan mereka boleh meski berpangkat kerani sahaja.


Perkara kedua ialah, Kakak tersebut bercerita. Cerita yang membuatkan mulut saya terbuka tidak percaya dan cemburu. Yang membuka pintu hatinya untuk memulakan jalan menunaikan rukun Haji kelima ialah, buku Travelog Haji Prof Kamil.


Subhanallah.


Saya baru diceritakan mengenai hal ini. Dua tiga hari lepas.


Saya tidak tahu berapa ramai menyebut nama Prof Kamil di Mekah dan Madinah. Berapa ramai yang membawa buku Travelog Haji sebagai teman Haji untuk panduan melakukan ibadah dan bacaan ketika senggang waktu di Tanah Haram. Rakan saya salah seorang dari mereka yang membawa buku Prof ke tanah Haram.


Sisi gelap. Gelap macamana pun ia masih berpengharapan menemui cahaya. Sekiranya kita mahu membuka pintu. Sekiranya kita mahu nyalakan sumbu.


Kata Prof, cahayanya bermula dari doa sang isteri. Bertahun-tahun tanpa jemu. Tanpa pernah rasa sangsi, bahawa Allah tetap sahaja tempat harapan tidak akan pernah temui kecewa. Tanpa sangsi sekelumit rasa.



Hari ini Prof Kamil meski apa pun berlaku di zaman lepasnya, seperti tidak signifikan. Kerana ramai orang lain menjumpai jalan cahaya, hanya dengan membaca buku, membaca blog beliau. Hanya dengan membaca.


Saya, cemburu. Begitu cemburu.


Tuhan, tunjukkan aku arah dan bantuMu agar aku mampu buka pintu, dan biarkan cahayaMu masuk memenuhi ruang, dimensi dan masa.





(gambar-gambar dipetik dari Google)

Comments

Cikli said…
gelap dulu takpa. jgn gelap sekarang walaupun cahaya terang benderang 1200lux
ASaL said…
Mendalam.
1200lux, sangat terang.
ieka said…
Prof Kamil.. mula2 pinjam buku dia, dan kemudian terus beli. Sebabnya, buku dia bukan hanya bercerita, dan berkongsi kisah, tapi seolah2 buku panduan haji dengan banyak tips2, siap ada ilustrasi sekali..

Tapi ada dua perkara yang membuatkan saya kira org terkesan tanpa sedar bila membaca buku dia, selain dari sifat ikhlas dan humble dia bercerita:

1. Mengaku kesalahannya di waktu lalu (memang memerlukan seseorang utk menurunkan ego ke tahap terendah bila mendedahkan perkara ini, apatah lagi bagi berpangkat tinggi.. dan sungguh dia org yg terpilih).. tetapi mengingatkan org jgn buat dan dia sendiri menyesal.. which is kebanyakkan cerita adalah mengaku buat salah tapi takde kesinambungan..it is just..like that!

2. Mengaku kesukaran utk istiqamah berbuat kebaikan.. tetapi berusaha utk meneruskannya bila diberi cabaran.. which is perkara2 yg selalu buat org separuh hati/separuh jalan bila kena sikit shj.. cthnya, jadi imam solat di surau kecil rumah beliau..

dan tentulah yg terkesan sekali adalah pada kaum ibu dan isteri..bilamana dia sangat appreciate isterinya, mengangkat nama dan peranan isterinya dalam hijrah beliau.. dan dikisahkan berulang2 kali :)
ASaL said…
Ya saya tidak terfikir. Tentang peranan seorang isteri diangkat begitu tinggi sekali dalam perjalanan penghijrahan Prof Kamil. Andai lebih ramai suami seperti ini, andai lebih ramai lelaki seperti ini.

Juga buat saya percaya, bahawa lelaki tidak akan begitu hebat tanpa seorang perempuan dibelakang mereka.

Ketika berbicara tentang sejarah Rasulullah, tidak akan tertinggal peranan besar Siti Khadijah dan Siti Fatimah. Andai dua perempuan mulia ini tidak ada.

Siti Khadijah yang menyelimutkan Nabi ketika pulang mendapat wahyu pertama. Siti Fatimah yang digelar sebagai Ummu Abiha.

Begitulah Allah design perjalanan manusia mulia. Diperteguhkan dengan wanita hebat dan mulia. Sudah lama Siti Khadijah pergi, Rasulullah masih merindui. Hingga kita juga dapat merasa hebatnya kecintaan dan sebuah cinta!

Allahumma solli ala Muhammad wa ala ali Muhammad.
ASaL said…
Owh ye, kawan blogger saya CikLi (atas) juga sering bercerita tentang Kajol (isteri tersayang :)
Unknown said…
salam,saya suka jumpa beliau...kalau beliau lapang, beliau akan ajak prang malaysia datang umah dia kat dekat bukit uhud di madinah, padahal tak kenal sangat beliau pun
..yusri gombak
Unknown said…
memang baik lah prof tu...saya msa jumpa dia kat masjid nabawi pun dia ajak g umah dia dekat jabal uhud

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah