Dunia Ini Sekolah Apa?
Satu hari dalam keadaan langit
biru tenang, seorang remaja yang gemar mencari ilmu dan berfikir bertanya, “Dunia
ini sekolah apa?”
Saya tergamam. Tidak pernah
terfikir. Selalu ditanyakan ialah tentang bulan Ramadhan. Itu mudah sahaja jawapannya.
Ramadhan adalah sekolah kerohanian. Madrasah tarbiyyah dan penyerahan. Tetapi
bila ditanya begitu, “Dunia ini sekolah apa?” saya tahu perlu masa untuk
memberi jawapan.
Kalau ada buku khusus mungkin
tidak begitu susah. Untuk tidak menghampakan dan rujukan paling pantas adalah
merujuk kepada kisah Nabi-nabi. Merekalah Imam sepanjang zaman tanpa syak.
Akhirnya saya mendapat jawapan,
paling tidak pada diri sendiri jika tidak pada remaja genius tersebut.
“Dunia ini adalah sekolah yang
mengajarkan harapan. Sejak mula Adam diciptakan, diuji dalam ‘syurga’,
diturunkan ke bumi. Kita tidak pernah ditinggal seorang untuk mencari jawapan
pada apa yang dicari dan harapan itu terbentang seluas samudera.”
Saya yakin menulis begitu kerana
pengalaman. Menjadi pembaca tekal blog Prof. Kamil saya menjumpai persamaan
yang serupa bila orang bertanya kami tentang Haji. Perkataan Haji akan keluar
bersama dengan perasaan takut. Stigma kita orang Melayu Islam adalah bayangan
bahawa ia perjalanan menempah bala di tengkuk. Kerana selama ini orang mensensasikan
cerita tentang rukun kelima itu ialah pengalaman yang menakutkan. Tentang
balasan cash Tuhan yang akan diterima di tanah suci tanpa bertangguh.
Meski saya menolak cerita sensasi
begitu, tanpa berbasi basa saya setuju. Benar, kita akan menerima balasan tunai
di sana. Namun yang mereka jarang dengar ialah walau apa pun ketakutan kita, kita
harus bulat percaya pengampunan Tuhan itu lebih besar. Itu harapan yang
disediakan untuk kita dan ia benar. Betul-betul sesuatu yang benar jika kamu
mahu percaya.
“Perjalanan Nabi-nabi mengajar satu,
betapa pun kesulitan dan kepedihan yang diujikan untuk kita, ia semata menjamin
kebaikkan. Namanya pun ujian. Dan kerana itu kita harus bersabar dan berusaha
sedaya mungkin untuk membuktikan keikhlasan bahawa tauhid kita bulat. Yang kita
percaya itu hanya Tuhan Yang Maha Esa tanpa sekutu. Bagaimana kita boleh jamin
bahawa kita tidak menyekutukan Allah jika tidak diuji?”
Saya mungkin akan menerangkan
kepada remaja berkenaan dengan kisah ini.
“Cerita terbesar ialah kisah bapa
kita Nabi Ibrahim as dan keluarganya. Bayangkan seorang lelaki dengan kedudukan
Nabi, yang begitu tinggi dan dihormati masyarakat. Diuji tidak punya anak
sehingga usia tua. Kemudian dengan munajat tidak pernah putus pada Allah, meski
bertali arus ujian yang perlu dilalui, Nabi Ibrahim masih tidak dikurnia anak. Nabi
Ibrahim berputus asa? Tidak pernah, doa baginda tidak putus. Selalu berbaik
sangka pada Allah yang punya kuasa kun fayakun.
Kemudian doa Ibrahim makbul, si
tua itu dikurniakan anak melalui isteri Siti Hajar. Tetapi Allah takdirkan
lagi. Ibrahim diminta meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tanah gersang di
Makkah.
Mari sorot dari kaca mata Siti
Hajar. Semua tahu bahawa Hajar adalah dari golongan budak (hamba). Malah budak
dari isteri pertama Siti Sarah. Hajar ini yang ditinggal di tanah gersang, yang
dikelilingi bukit batu yang tiada satu tanda hidupan. Tiada pokok malar hijau,
tiada sumber air, tiada orang, tiada suami. Hanya anak kecil yang menangis
kehausan air.
Siti Hajar berputus asa? Tidak.
Di dadanya penuh harapan. Dengan harapan menggunung itulah di berlari, terus
lari. Dari Safa ke Marwah. Marwah ke Safa semula. Ia bukan larian tanpa tujuan.
Ia adalah simbol untuk menunjukkan walau dunia tidak menyebelahi kita pun,
harapan itu tetap ada. Dan Allah meninggalkan kita usaha. Usaha terus usaha.
Meski terpaksa melalui jalan yang sama sebanyak tujuh kali. Dengan mendengar tangisan
anak kehausan, diri sendiri kehausan. Seorang tanpa suami. Di padang pasir,
tanpa orang. Hajar terus lari dengan dada menggunung harapan. Bahawa dalam
keadaan sulit tanpa tanda apa-apa, Allah tetap ada hadir dalam dada manusia.
Kemudian, Allah takdirkan air
keluar mencurah-curah dari hentakan kaki Ismail. Air itu yang dipanggil zam-zam
tidak pernah kering. Menjadi carian tetamu Haji dan Umrah sepanjang zaman
sehingga ke hari ini. Sudah beribu-ribu tahun berlalu. Jika harapan itu tidak
benar, keazaman itu tidak benar, air apa yang kita minum ketika menjemput
jemaah Haji pulang ke tanah air?
Kisah Nabi Ibrahim dan
keluarganya simbol lebih besar dari itu. Ibrahim dari golongan bangsawan
terhormat. Seorang lelaki. Siti Hajar dari latar belakang hamba yang dihinakan.
Perempuan. Di Kaabah ada satu ruang yang dinamakan Hajar Ismail. Ia lambang
Siti Hajar. Seorang perempuan yang diletak menjadi sebahagian dari rumah Allah.
Siapa yang bertawaf dengan melewati bahagian ini, tawafnya tidak sah.
Cerita ini membawa takdir yang
lebih indah. Tidak kira kamu bangsawan atau hamba, lelaki atau perempuan, kita
masing-masing diuji. Jika diuji penuhilah dadamu dengan sepenuh rasa percaya
dan harapan. Tuhan tidak akan pernah menghampakan hamba yang ikhlas mencariNya.
Tanpa bias dan perbezaan ras, kasta, gender. Allah memandang kamu rata
seadanya, makhluk ciptaan yang dicipta untuk beribadat hanya kepadaNya.”
Bandingkan ini yang saya dapat
dari seorang guru lewat Facebook.
Lelaki Iran ini, berusia 83
tahun; namanya Amir Omidvar Panah. Dia berkahwin dengan isteri pertamanya
selama 50 tahun dan tidak beroleh zuriat. Setelah isteri beliau meninggal
dunia, dia menikahi seorang gadis berusia 27 tahun. Setelah 3 tahun, dia
akhirnya dikurniai seorang anak lelaki yang dinamai Muhammad Ismail.
Subhanallah.
Allah menyeru kita Haji melalui
Nabi Ibrahim bukan tanpa mengetahui kita punya dosa-dosa. Malah jika seluruh
isi dunia ini dipenuhi dosa kita, Allah masih tetap memanggil. Termaktub dalam
Al Quran begitu, tidak pernah terpadam pun. Dan percayalah, walau apa pun
alasan, kita sedang diuji untuk mendengar dan menyahut seruan ini. Kesanggupan dan
berani mulakan perjalanan akan membukti satu, kita ikhlas menjadi hamba dan
mengakui Allah itu Esa, Yang Maha.
Dan untuk setiap sesuatu yang mewarnai perjalanan hidup kita ini, penuhkan dada dengan harapan. Hanya dengan itu kita akan berani berlari mencari.
“Dunia ini sekolah apa?”
“Adik, dunia ini adalah, sekolah harapan.”
Comments